50 pemenang ‘50 Hari 50 Emas’ dirai meriah di Rumah Terbuka Aidilfitri KOPETRO



Kuala Lumpur: Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) telah mengadakan majlis penyampaian hadiah bagi kempen ‘50 Hari 50 Emas’ di Cornerstone IPC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa. Majlis yang dianjurkan serentak dengan Rumah Terbuka Aidilfitri KOPETRO itu berlangsung meriah dihadiri lebih 1,000 orang tetamu jemputan yang terdiri daripada pemenang-pemenang yang juga merupakan anggota koperasi, rakan-rakan strategik perniagaan, pegawai-pegawai khas daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), wakil-wakil koperasi daripada sekitar kawasan Lembah Klang, wartawan-wartawan media cetak dan media elektronik serta kakitangan KOPETRO.



Berlangsung pada 1 Februari 2022 sehingga 31 Mac 2022 yang lalu, kempen 50 Hari 50 Emas menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa syiling emas bernilai lebih RM50,000. Untuk menyertai kempen ini, anggota-anggota KOPETRO dikehendaki untuk mengesyorkan rakan dari kalangan kakitangan PETRONAS dan subsidiari PETRONAS untuk menjadi anggota, menambah modal syer sekurang-kurangnya RM1,000 atau memohon pembiayaan KOPETRO dengan jumlah minimum sebanyak RM10,000 untuk melayakkan diri merebut peluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan.



Selain anggota KOPETRO, kempen 50 Hari 50 Emas turut terbuka kepada kakitangan PETRONAS dan subsidiari PETRONAS yang belum menjadi anggota untuk mendaftar menjadi anggota dalam tempoh kempen ini berlangsung.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, kempen 50 Hari 50 Emas ini direka bagi menggalakkan anggota-anggota KOPETRO untuk menambah syer, di samping menarik lebih ramai lagi kakitangan PETRONAS untuk berdaftar menjadi anggota KOPETRO.

“Kempen 50 Hari 50 Emas ini adalah salah satu inisiatif KOPETRO dalam menghargai anggota-anggota KOPETRO yang telah memberi kepercayaan dan sokongan selama lebih 40 tahun penubuhan KOPETRO, sehingga meletakkan kami sebagai Koperasi Kedua Terbaik di Malaysia bagi tahun 2021,” ujarnya.



Tambahnya, KOPETRO komited untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan menghasilkan produk-produk kewangan yang menepati keperluan dan kemahuan anggota-anggota KOPETRO.



Dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM50,000, pemenang kempen 50 Hari 50 Emas telah dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori pertama menawarkan syiling emas seberat 20 gram sebagai hadiah utama, selain hadiah sampingan berupa syiling emas seberat 10 gram, 5 gram dan 2.5 gram dan hadiah saguhati berupa syiling emas seberat 0.5 gram.



Manakala bagi kategori kedua kempen, hadiah berupa syiling emas seberat 0.25 gram dimenangi secara automatik bagi anggota yang berjaya membawa masuk anggota baharu menyertai KOPETRO. Syiling emas itu turut dihadiahkan kepada anggota baharu yang berdaftar dalam tempoh kempen sebagai tanda penghargaan.



Setelah dua tahun merayakan Syawal dengan penuh kesederhanaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19, KOPETRO tidak melepaskan peluang untuk merayakan Aidilfitri tahun ini dengan menganjurkan 4 sesi rumah terbuka di beberapa lokasi utama anggota KOPETRO berada. Pada 19 Mei 2022 yang lalu, sebuah rumah terbuka telah diadakan di Kertih bagi meraikan anggota mereka yang berada di sana. Dua lagi lokasi yang bakal dikunjungi KOPETRO untuk meraikan perayaan ini adalah Melaka dan Pengerang pada 26 Mei 2022 dan 30 Mei 2022 kelak.



Sebagai rekod, KOPETRO telah ditubuhkan pada 30 Oktober 1980 dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak syarikatnya. KOPETRO terlibat dalam empat bidang perniagaan utama iaitu Servis Kewangan, Pelancongan dan Perhotelan, Makanan dan Minuman dan juga Perdagangan dan Peruncitan. 



Selain dinobatkan sebagai Koperasi Kedua Terbaik di seluruh Malaysia pada tahun 2021, KOPETRO turut memenangi dua anugerah berprestij pada tahun 2020, iaitu anugerah oleh The Brandlaureate bagi kategori SMEs Bestbrands E-Branding Award dan juga Lang International Corporate Titan Awards.



Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai KOPETRO, layari laman web www.kopetro.com.my atau ikuti akaun @kopetroberhad di Facebook, Instagram dan YouTube.


Comment As:

Comment (0)

No comment found!